Umat Islam tahun ini akan menyambut ulangtahun ke-63 peristiwa hitam Nakbah Palestin. Namun di Mesir sambutannya tentu berbeza dari sebelumnya apabila pertama kali dalam sejarah setelah kejatuhan rejim Hosni Mubarak, rakyat Mesir bebas menyambutnya tanpa kekangan dari pihak keselamatan seperti sebelum-sebelum ini.
Seperti yang dilapor akhbar tempatan hari ini (14 Mei), hampir kesemua masjid di Mesir dipenuhi ribuan umat Islam menunaikan solat Subuh berjemaah pada hari Jumaat,13 Mei iaitu 3 hari sebelum menjelang sambutan Nakbah. Menurut laporan, seramai 6 ribu umat Islam memenuhi Masjid Nur di Abbasiyah, 2 ribu lagi di Masjid ‘Amru bin Al-‘As dengan diimami Syeikh Mohammad Jibril dan hampir 3 ribu lagi membanjiri dataran Tahrir dengan diimami oleh Syeikh Sofwat Hijazi. Kempen “Jutaan Solat Subuh” atau “Milyun Solatul Fajr” ini dilancarkan bagi memberi amaran kepada Israel bahawa cabaran mereka akan dikalahkan “hanya jika umat Islam mampu memenuhi masjid pada solat Subuh seperti solat Jumaat” kini sudah tercapai.
