Waktu Solat di Bachok

Friday 22 February 2013

Pinanglah aku


“Mak dah bincang dengan keluarga Haji Tayyib, kami bersetuju nak tunangkan kamu dengan Azmil, anak dia yang belajar di al-Azhar sekarang” kata orang tua separuh abad itu kepada anak tunggalnya, Hawa. “Tapi mak, kenapa perlu tergesa-gesa? Saya belum berfikir tentang ini” jawab Hawa yang tersentak dengan kata-kata ibunya dalam panggilan telefon itu.

“Kau tu budak lagi, belajar di U dulu, hal masa depan kamu ni, biar mak dan ayah uruskan. Lagipun, si Azmil tu sesuai sangat untuk kamu. Dia tu hafiz, dia boleh jaga kamu kelak. Belaja baik-baik, assalamualaikum”. Itulah kata-kata terakhir emak Hawa yang menyebabkan dia sentiasa memikirkan hal ini di mana sahaja dia berada. Fokus belajarnya hilang. Dia tahu bahawa anak yang solehah tak membantah kata-kata ibu dan dia tak pernah membantah ibu bapanya sebelum ini. Inilah kali pertama dia bersuara untuk mempertikai keputusan ibu walaupun tak didengari.

Pagi Jumaat, 8 pagi.

Sudah hampir 3 hari perbualan itu berlalu. Pagi ini, Hawa menggagahkan diri untuk berbicara hal masa depan walaupun bukan dengan ibu, tapi kepada ayah yang selayaknya menjadi wali dan berkuasa dalam hal ini.
“Ayah, Hawa bukan mahu membantah tapi ini soal masa depan Hawa untuk jangka masa panjang. Hawa tak mahu, kita terlalu mudah membuat keputusan.” “Kenapa? Kamu tak suka ke dengan Azmil tu?” ayahnya membalas lembut. “Bukan apa, ayah bagilah kepada Hawa untuk buat keputusan sendiri, Insya-Allah dengan istikharah dan petunjuk Allah. Berikan Hawa sedikit masa.” Ayahnya memahami keadaan anak daranya yang terlalu memikirkan soal jodoh dan pilihan hati. “Kamu dah ada pilihan sendiri ke di U tu?” soalan ayah yang menyebabkan Hawa terpinga-pinga.

Setelah terdiam sejenak, “Dalam masa seminggu, Hawa bagi jawapan”. Ayahnya hanya membalas ya tanda setuju.

Dia menuju ke surau kolej kediaman untuk membaca Quran dan Mathurat dengan harapan, jiwanya akan menjadi tenteram dan tenang untuk menghadapi segala kemungkinan. Begitulah cara dia mengadu kepada Tuhan, yang memiliki segala-galanya.

Sebelum mengadu kepada makhluk yang lemah, dia pasti akan mengadu kepada khaliq yang kuat terlebih dahulu. Apa yang kawan-kawan dan kelurganya dapat berikan andai Allah menghalangnya. Bagi dia, Allah adalah segala-galanya, saat sedih dan gembira, saat ditimpa musibah dan dikurnia nikmat, saat tenang dan gelisah, semuanya daripada Allah dan Dialah yang berkuasa ke atas semua itu.

Di beranda surau, sedang dia memakaikan kakinya yang sudah berstokin dengan sandal, matanya terarah kepada satu jasad yang berjalan menghala ke kafe. Lelaki itu sedang berjalan bersama rakannya dan tak pernah putus daripada mengukir senyum di bibir merahnya itu. Itulah Amran, pelajar Akidah dan  Agama sama seperti Hawa tapi berbeza kuliah kecuali untuk satu subjek mereka digabungkan.

Hawa kenal Amran kerana pernah terlibat dalam kem dakwah santai bersama-sama anjuran pimpinan senior mahasiswa PMI. Amran memang berbakat dalam pengucapan awam walaupun sebelum ini tidak diserlahkan. Kem itulah yang menonjolkan apa yang perlu ditonjolkan daripada peserta selain melatih keyakinan masing-masing.

Hawa akui, sebelum ini pun dia sering memerhatikan gerak geri Amran. Kadang-kadang, pakaian Amran pun perasan. Dia sendiri tak sedar dengan tindakannya. Mungkin Amran berbeza daripada lelaki-lelaki lain di Universiti itu. Sejak mula-mula sampai di universiti itu, dia merasai kehadiran Amran walaupun dia tahu Amran tak pernah ambil tahu tentangnya.

Mereka berdua pun tak pernah berbual kerana tiada ruang yang sepatutnya mereka berbicara kecuali dalam suatu permainan bersama ‘perang-perang. ‘Perang-perang’ itu untuk melatih fizikal dan mental peserta kem. Mereka berada dalam satu kumpulan. Amran menjadi panglima perang manakala Hawa dan 2 rakan yang lain pula sebagai tawanan yang mesti tentera selamatkan.

Amran adalah satu-satu lelaki yang masih ‘hidup’, meneruskan misi untuk memenangi peperangan dan menyelamatkan tawanan. 2 minit sebelum berakhir, Amran yang keletihan menyapa Hawa yang ketika itu berseorangan apabila mereka bertentangan dalam ‘medan’.

“Dah mati ke ni?” itulah bait ayat yang Hawa masih ingat hinggalah sekarang, setelah sebulan berlalu. “Tak, kita sempat lari…”. Perbualan mereka tergantung dan tak berakhir hinggalah kini. Tiada lagi perbualan antara mereka selepas itu melainkan ‘eye contact’ yang kebanyakannya tak disengajakan.
Amran juga seorang yang terlalu menjaga ikhtilatnya dengan kaum hawa. Dia terlalu menghormati golongan istimewa dengan pelbagai kelebihan ini. Jauh sekali untuk dia mengambil kesempatan walaupun dia punyai banyak peluang untuk itu. Sebab itulah, Amran tak akan membiarkan biji mata coklatnya berulang-ulang dan lama-lama memandang perempuan. Biarlah sekali itu sahaja. Itu bukan haknya.

Hawa juga berusaha menjaga kehormatan diri. Sebab itulah, dia bertudung dan menutup aurat. Akhir zaman, terlalu ramai perempuan yang liar dan tak menjaga batas-batas agama walaupun mengaku Islam. Dia tak mahu tergolong dalam golongan majoriti itu, biarlah haq walaupun perit. Dia hanya mahu menjadi seksi di hadapan suaminya yang akan mengemudi perjalanan hidupnya kelak.

Mereka berdua telah berusaha berjalan mengikut landasan agama dan berharap perlindungan daripada Allah Taala. Kita jaga agama Allah dengan sebatikannya dalam hati, Allah akan jaga kita nafas demi nafas.
Tiba sahaja di kantin, Hawa terus menceduk nasi, Amran yang sedang terleka dengan rakan tak langsung menyedari Hawa sedang menghadapnya. Sambil berbual, dia mencari senduk nasi, tanpa disengaja, Amran telah menjatuhkan senduk nasi yang sedang digunakan Hawa. “Sori, sori…tak sengaja” Amran pantas mengambil senduk yang berada di atas timbunan nasi itu.

Hawa hanya memerhati dan mengangguk kepala tanda memberi maaf. Saat itu, hanya Amran yang rasa perasaan bercampur ketika itu. Malu, bersalah, kesal, romantik, semuanya bercampur gaul tapi dia tetap mengabaikannya, terus berbual dengan rakan di sebelah. Hilanglah sedikit gemuruh pelik di jiwa itu.
Jika sebelum ini, mereka hanya bertembung ketika di jalan dan persimpangan jalan, itu pun masing-masing cuba mengalih pandangan setelah anak mata mereka bertentangan.

Malam itu, Hawa tekun membaca Kalamullah dan solat Istikharah. Dia hanya mengharapkan Allah menerangkan pilihan yang kabur dan menunjukinya siapakah yang sepatutnya dia jadikan imam. Walaupun dia tahu, dia masih tahun 1 dan belum matang dalam hal sebegini, tapi dia terpaksa memberi tumpuan penuh apabila emaknya membangkitkan tentang hal ini.

“Ya Allah, Tuhan yang Maha Berkehendak dan Maha Berkuasa, aku bersimpuh pada mala mini di hadapan-Mu. Menzahirkan kefakiran dan kehinaan hamba. Engkaulah yang mengusai hati sekalian manusia. Engkaulah yang mencipta cinta, mengawalnya dan menghilangkannya.”
“Aku pohon kepada-Mu agar Engkau tunjukilah kepadaku siapakah sebenarnya yang sepatutnya menjadi imamku dan memiliki cinta ini.”

Angin sepoi-sepoi meniup langsir tingkap dalam kelam hanya disinari lampu jalan yang mencelah masuk ke kamarnya. Walaupun belum mendapat keputusan jelas, ketenangan sudah pun membuah dan terserlah pada wajahnya.

3 malam berturut-turut, hanya wajah Amran sahaja yang muncul di dalam mimpinya walaupun dia tidak memikirkan tentangnya sebelum tidur. Bahkan jiwanya hilang kegelisahan bila teringatkan Amran. Setelah bangkit, dia segera mendirikan solat Tahajjud, agar Allah teguhkan hatinya dan memberinya kemudahan dalam urusan ini.

Pagi minggu,

Dia yakin dengan keputusan ini. Sekarang, dia hanya perlu berusaha. Apa yang perlu dia lakukan? Bolehkah perigi mencari timba? Dalam keresahan hati, dia cuba memujuk hati agar mengutamakan syariat Islam daripada adat Melayu. Bukankah sunat bagi perempuan untuk mankhitbah mana-mana lelaki yang soleh pada matanya. Tidaklah hina perbuatan ini, Sayyidatina Khadijah telah membuktikannya dengan menghantar utusan untuk meminang baginda.

Dia tak punyai nombor telefon Amran, bersosial pun kurang di Facebook. Usahanya disertai tawakkal. Saat dia sedang makan di kafe, tiba-tiba matanya ditenggelami air mata. Dia terlalu lemah untuk menghadapi takdir andai keputusan hatinya itu tak sepakat dengan realiti yang dia akan lalui.

Memang sudah lahir rasa cinta di pihak Hawa terhadap Amran. Tapi itu fitrah. Dia tetap menjaganya agar tak menjadi fitnah. Dia tertunduk kepala, dengan harapan orang lain tak langsung menyedari keadaannya.
Setelah lama sebegitu, dia tak mampu lagi menahan air mata, dia mengangkat kepala. Memang sudah dicatatkan, Amran yang baru selesai makan sedang melihat pekerja kafe mengalihkan besen pinggan. Di sebalik pekerja itu, wajah mereka berdua menghadap antara satu sama lain. Ketika itulah, jelas pada pandangan Amran, Hawa sedang menahan tangisan. Amran kebingungan. Perempuan memang mudah tersentuh dan mengikut kata hati.

Nur, satu-satunya rakan Hawa yang dikongsikan apa yang dia alami sekarang. Nur juga roommatenya, mudah memahami perasaan rakan dan sangat cermat menjaga rahsia orang lain, apatah lagi membuka aib saudara. Sesiapa yang membuka aib saudaranya akan dibuka aibnya sebelum mati. Itu yang membentuk tindakannya.

“Nur, boleh kau tolong aku sekejap? Tolong hantar kertas ini kepada Amran di sana tu” pinta Hawa.
“Salam, boleh jumpa pukul 5 petang lepas ni di taman. Nur pun ada bersama- Hawa”.Kertas kecil ungu itu disimpan Amran selepas dibaca sepintas lalu.

5 petang, Taman,

Mata Amran sedang memerhati sekeliling, mencari-cari 2 orang itu. Dia tak tahu apa sebabnya pertemuan ini tapi dia juga teruja untuk mengetahuinya.“Assamalamualaikum” Nur yang baru tiba bersama Hawa memberi salam kepada Amran yang sedang asyik mengambil gambar orang ramai beriadhah di taman. “Waalaikumussalam, duduk la dulu” balas Amran sambil meletakkan handphonenya di atas meja.
“Maaf lambat sedikit, lama dah ke tunggu?” soal Nur sambil diperhatikan Hawa. Ketika itu, Hawa tidak langsung memandang Amran dan diam seribu bahasa. Hanya membiarkan mereka berdua berbual. “Tak mengapa, saja jer tadi datang awal. Lama dah tak hirup udara petang di sini, lain macam pula rasanya petang ini. Mungkin sebab ada cerita menarik nak masuk dalam telinga petang ni kot” Amran bergurau.

“Sebenarnya, Hawa nak tanya sesuatu kepada awak” Nur tak membiarkan keadaan sunyi. Dia berpaling ke arah Hawa yang tertunduk sejak dari tadi sebagai syarat memberi laluan kepada Hawa untuk memulakan kalam. Sunyi seketika. Amran sabar menunggu.

“Amran, maaf kerana mengganggu waktu petang ini. Saya nak tanyakan satu soalan”sayu perkataan-perkataan Hawa. Amran hanya mengangguk. “Ada seorang muslimat ini, dia sedang belajar tahun 1 di U. Ibunya mahu pinangkannya dengan anak kawannya yang sedang belajar di Mesir. Patutkah muslimat ini terima?”

“Jika lelaki itu baik dan meletakkan agama sebagai asas kehidupan, tiada sebab kukuh untuk menolak lamarannya” jawab Amran spontan. “Tapi, jika dia terlebih dahulu menjumpai lelaki yang lebih soleh dan sesuai dengannya?” balas Hawa dan mengangkat kepalanya.

“Apabila kita sedang menyintai seseorang, ketika kita sedang meminati seseorang, kita akan lihat dialah segala-galanya. Dialah yang sempurna dan orang yang kita ingin dampingi. Itulah kata hati, kadang-kadang ditunjuki ilham malaikat dan adakalanya dinodai syaitan” Amran tenang mengulas.
“Muslimat itu telah pun istikharah dalam hal ini, ternyata bukan lelaki di Sungai Neil yang muncul tapi hatinya lebih cenderung kepada lelaki yang sama-sama dengannya belajar di sini.”

Amran terdiam, dia yakin memang jawapan istikharah itulah jalan terbaik. Kita sangka sesuatu itu baik untuk kita, tapi Allah jauhkannya daripada kita sebab Allah Maha Mengetahui. Begitu juga sebaliknya. Sebenarnya, dari tadi lagi, Amran sudah berasa suatu perasaan aneh.

“Jika itu resultnya, teruskanlah” Amran membalas pendek. “Teruskan apa?” Hawa tertanya-tanya. “Pinanglah lelaki itu jika lelaki itu tidak mulakan.”

“Muslimat itu malu untuk berbuat begitu, dia takut ditolak lagipun tindakan ini jarang-jarang sangat dibuat” Hawa kembali tertunduk. “Jika lelaki itu kabur, dia la pula kena buat solat istikharah. Apa yang susahnya? Kalau ada jodoh, bersatulah dua makhluk tu” Amran menjawab tanpa sedikit pun serius.

“Muslimat itu adalah saya sendiri” Hawa perlahan-lahan bersuara. “Oooo…..untunglah dapat pasangan yang soleh” Amran memberi sedikit rangsangan.

Hawa sudah kematian akal, apa lagi yang perlu dia luahkan. Belum lagi Hawa bersuara, “dan untung juga lelaki yang berjaya menyentuh hati awak dan mencuri tumpuan perempuan soleh dan cantik ini” Amran cuba meluahkan sesuatu yang tersirat melalui kalamnya itu menyebabkan Hawa tersenyum manis bersendirian.

“Apa pun, yakinlah Allah sentiasa berikan kita yang terbaik kepada kita semua. La tahzan, Innallaha maa’na.” Amran menyambung kalam. Seperti ada emas di mulut Hawa untuk berkata. Terlalu berat untuk berkata-kata. Ada lafaz yang belum dia ucapkan kepada Amran.

“Ayah saya kata, jika saya tak ada pilihan lain dalam masa 4 hari ini, dia akan pinangkan kami dengan pelajar al-Azhar itu dalam masa terdekat” Hawa kembali bercerita. Nur hanya memerhatikan mereka berdua sambil online Facebooknya.“Kalau macam itu, saya tolong awak carikan lelaki itu. Mungkin kawan saya kot. Dia pelajar bidang apa? Fakulti mana? Tinggal di mana? Ermmm, lupa pula nak tanya, nama dia apa?” Amran bersemangat membantu.

Hawa terdiam. Tiba-tiba, Nur memegang tangan Hawa untuk menguatkannya. Hawa menarik nafas panjang dan berkata “Awak memang sangat kenal dia, dia pelajar bidang Akidah dan Agama, fakulti FKP, dia tinggal di Kelantan. Nama dia Amran.”

Peluh andrenalin sudah mula melalui pipi Amran. Dia seolah-olah di awangan. Dia tersentak dan tak mampu berkata apa-apa. Tiba-tiba, handphone Amran berbunyi. Panggilan daripada ibunya. Hampir 7 minit dia bercakap dengan ibu, dia kembali ke bangku tadi.

“Di mana kita tadi?” soal Amran kepada Hawa. “Esok awak ada pertandingan pidato kan? Buat yang terbaik ya” Hawa membalas sambil meminta izin pulang bersama Nur. “Insya-Allah”.

Di bilik,
Amran berbaring di atas katil sambil membaca novel. Tiba-tiba dia teringat pasal jawapan terakhir Hawa tadi. “Aduh, kenapalah aku ni pelupa sangat” gertak hatinya.

Segera dia bangkit dan solat istikharah. Pada sujud terakhirnya, dia memohon agar ditunjuki jalan terbaik. Dia sangat berharap lantas berdoa:
“Ya Allah, jika dia adalah untukku yang Kau tetapkan sejak azali lagi, jodohkan aku dengan dia. Jika dia bukanlah bakal permaisuriku, jauhkan hatiku daripada hatinya. Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Engkaulah yang mengusai hati sekalian manusia. Engkaulah yang mencipta cinta, mengawalnya dan menghilangkannya.”

Dalam masa 4 hari itu, mereka sering berjumpa tapi tak bertegur. Masing-masing sedang menyembunyikan perasaan dari sudut yang dalam. Selin itu, Pakaian mereka juga sama walaupun tak dirancang. Hawa berjubah koko, Amran juga berbaju kemaja koko. Ketika Amran memakai baju melayu ungu, Hawa juga berbaju kurung ungu.

Pagi ketujuh selepas Hawa menelefon dengan ayahnya, Hawa menerima suatu mesej daripada emaknya, “Hawa, ayah dah tak sabar nak terima lamaran daripada keluarga Haji Tayyib”. Ketika itu dia sedang makan di kafe. Hawa sebak kerana dia tak mampu berbuat apa-apa. Amran seolah-olah tiada pada hari itu.

“Assalamualaikum, ini ada kertas kecil ungu untuk awak” suara dari arah belakang yang sangat Hawa kenal. Sebaik sahaja Hawa menjawab salam dan berpaling, lelaki itu terus berkata “sudikah awak menjadi permaisuri hidup saya? Saya mahu pinang awak”.

Kertas kecil ungu dikembalikan kepada tuannya yang asal dan disimpan kemas seperti permata kerana ia sangat bernilai pada Hawa.


cerpen dari blog pengerusi Prisma: Para pencari Allah (PpA)

No comments:

Post a Comment

Komen di Facebook