Waktu Solat di Bachok

Monday 16 May 2011

Nakbah Palestin dalam Ingatan



Umat Islam tahun ini akan menyambut ulangtahun ke-63 peristiwa hitam Nakbah Palestin. Namun di Mesir sambutannya tentu berbeza dari sebelumnya apabila pertama kali dalam sejarah setelah kejatuhan rejim Hosni Mubarak, rakyat Mesir bebas menyambutnya tanpa kekangan dari pihak keselamatan seperti sebelum-sebelum ini.

Seperti yang dilapor akhbar tempatan hari ini (14 Mei), hampir kesemua masjid di Mesir dipenuhi ribuan umat Islam menunaikan solat Subuh berjemaah pada hari Jumaat,13 Mei iaitu 3 hari sebelum menjelang sambutan Nakbah. Menurut laporan, seramai 6 ribu umat Islam memenuhi Masjid Nur di Abbasiyah, 2 ribu lagi di Masjid ‘Amru bin Al-‘As dengan diimami Syeikh Mohammad Jibril dan hampir 3 ribu lagi membanjiri dataran Tahrir dengan diimami oleh Syeikh Sofwat Hijazi. Kempen “Jutaan Solat Subuh” atau “Milyun Solatul Fajr” ini dilancarkan bagi memberi amaran kepada Israel bahawa cabaran mereka akan dikalahkan “hanya jika umat Islam mampu memenuhi masjid pada solat Subuh seperti solat Jumaat” kini sudah tercapai.



Apatah lagi, pejabat kedutaan Israel di Kaherah kini menjadi sasaran penunjuk perasaan mengadakan demontrasi hampir saban hari. Antara tuntutan penunjuk perasaan ialah menghalau duta Israel dari Mesir, meminta pintu sempadan Rafah dibuka dan dihentikan penyaluran gas dari Mesir ke Israel.


Kembali kepada sambutan Hari Nakbah yang diingati umat Islam tanggal 15 Mei saban tahun. NAKBAH bermaksud MALAPETAKA atau BENCANA BESAR. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada pengisytiharan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara rasminya pada 15hb Mei 1948.


Kesan awal utama Nakbah

1.    Nakbah menyebabkan hilangnya negara Palestin daripada peta dunia antarabangsa.
2.    Lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (800 ribu orang daripada 1.4 juta) diusir ke luar negara dan 30 ribu lagi diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.
3.    478 daripada 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948 telah dihancurkan yang melibatkan lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.


Kronologi:

•    Pada tahun 1917 dan Perisytiharan Balfour, idea untuk melobi sokongan kuasa besar semakin kuat dan melalui Perisytiharan Balfour, kerajaan Britain berjanji untuk menyokong penubuhan negara Yahudi di Palestin.
•    Pada tahun 1936, Suruhanjaya Peel mencadangkan Palestin dibahagikan kepada negara untuk orang Yahudi dan negara untuk orang Arab. Cadangan ini ditolak atas alasan tidak akan berjaya oleh kerajaan Britain dan menjadi salah satu sebab kepada pemberontakan Arab 1936-1939 di Palestin.
•    Dalam menghadapi keganasan yang memuncak, kerajaan Britain menyerahkan masalah untuk diselesaikan kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
•    Hasilnya adalah Resolusi 181 yang membahagikan Palestin di antara orang Yahudi dan Arab.
•    Yahudi menerima 56% kawasan mandat British yang diduduki oleh ramai orang Yahudi sementara Jerusalem akan ditadbir oleh PBB. Pelan ini diterima oleh majoriti masyarakat Yahudi tetapi ditolak oleh masyarakat Arab.
•    Pada 29 November 1947, pelan ini diundi dalam Perhimpunan Agung PBB.
•    Keputusannya 33 menyokong, 13 menentang dan 10 berkecuali. Semua negara Arab menolak pelan tersebut dan mencadangkan pelan dibawa ke Mahkamah Antarabangsa kerana tindakan Perhimpunan Agung yang melanggar hasrat majoriti penduduk Palestin.
•    Cadangan negara Arab ini tidak mendapat sokongan. Pembahagian akan berkuatkuasa sebaik sahaja Britain berundur dari wilayah Palestin iaitu pada 15 Mei 1948.


Majlis perisytiharan

•    David Ben-Gurion mengisytiharkan penubuhan negara Yahudi Israel di bawah potret Theodor Herzl, pengasas Zionisme moden.
•    Majlis perisytiharan penubuhan Israel dibuat di Muzium Tel Aviv (sekarang dikenali sebagai Dewan Kemerdekaan), tetapi tidak diumumkan secara meluas kerana takut dihalang oleh pihak berkuasa Britain atau serangan tentera Arab.


Negara terawal yang mengiktiraf Israel

•    Amerika Syarikat yang dibuat dalam masa 11 minit selepas perisytiharan.
•    Iran (yang pada masa itu masih di bawah Shah Mohammad Reza Pahlavi)
•    Termasuk Guatemala, Iceland, Nicaragua, Romania dan Uruguay.
•    Kesatuan Soviet mengiktiraf Israel pada 17 Mei 1948 diikuti oleh Poland, Czechoslovakia, Yugoslavia, Ireland dan Afrika Selatan.


Kesan perisytiharan

•    Perisytiharan penubuhan Israel diikuti oleh serangan ke atasnya oleh tentera Mesir, Iraq, Lubnan dan Syria dan bermulanya Perang Arab-Israel 1948.
•    Walaupun gencatan senjata dipersetujui pada 11 Jun, pertempuran disambung semula pada 8 Julai dan berhenti semula pada 18 Julai sebelum disambung kembali pada pertengahan bulan Oktober.
•    Peperangan hanya berakhir pada 24 Julai 1949 dengan termeterainya Perjanjian Armistice 1949 dengan Syria.
•    Dengan termeterainya perjanjian, Israel bukan sahaja dapat mempertahannya dirinya tetapi juga memperluaskan wilayah yang didudukinya hampir separuh dari pelan asal pembahagian wilayah oleh PBB.

sumber: Portal Rasmi Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM), PMRAM

No comments:

Post a Comment

Komen di Facebook